BAKAT USAHAWAN TANI

Tuan Helmi Suhaimi, Usahawan Tani.

Pokok lada yang ditanam secara organik. 
Berapakah pendapatan usahawan tani sebulan? Menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), seorang usahawan tani mampu memperoleh pendapatan sekitar RM30,000 sehingga RM50,000 sebulan. 

Malah, usahawan tani itu juga dapat mencipta pekerjaan untuk orang lain. Usahawan tani yang mengusahakan tanaman secara organik membantu masyarakat mendapatkan makanan yang berkhasiat dan menyihatkan. Berganda-ganda kebaikan dan pahala yang diperolehi oleh seorang usahawan tani.

Untuk menjadi usahawan tani yang berjaya, dia memerlukan bakat-bakat tertentu untuk melaksanakan kerjanya. Apakah bakat-bakat itu? Minggu ini, tim Sekolah Bakat ABS menemuramah Tuan Helmi Suhaimi, seorang usahawan tani yang mengusahakan tanaman organik.

1. Apakah karier Tuan?

Untuk karier atau apa yang saya usahakan ada dua. Yang pertama, saya merupakan seorang Green Economist atau secara mudahnya Usahawan Tani. Usaha ini merupakan satu usaha yang berlaku sejak tahun 2012.

Selain usahawan tani, saya juga adalah seorang Jurulatih Pembangunan Bakat dan Inovasi. Saya merangka modul berkaitan membangunkan bakat serta inovasi. Klien terdiri daripada individu perseorangan, sekolah, institusi, organisasi dan kementerian. Ia melalui syarikat yang dibentuk pada 2011 iaitu Inspirasi Bakat.

2. Apakah bakat-bakat yang diperlukan untuk menjadi seorang
usahawan tani yang berjaya?

Banyak gabungan bakat yang diperlukan untuk menjadi usahawan tani yang berjaya. Bakat-bakat yang diperlukan adalah :-

i. Bakat Body Kinestetik -Saya memerlukan aktiviti fizikal dalam kedua-dua perkara yang saya sedang usahakan. Dalam pertanian, wajib untuk mengangkat cangkul, tong dan lain-lain. Pergerakan badan satu kemestian dalam bertani.

ii. Bakat naturalist -Ini sememangnya bakat yang paling dekat sebagai seorang usahawan tani. Setiap hari perlu bermain-main serta bercakap-cakap dengan pokok, mengawal serangga perosak, berhubung dengan haiwan dan lain-lain lagi.

iii. Bakat Intrapersonal -Ketika di kebun atau bertani ini adalah bakat yang digunapakai. Bersendirian dan berseorangan menghadap tanaman.

iv. Bakat Muzikal - Pertanian memerlukan saya fokus untuk bersama-sama dengan tanaman dan muzik tidak dapat dibuka. Cuma kadang-kadang menyanyi-nyanyi sendiri.

v. Bakat Verbal Linguistik -Bakat ini saya gunakan ketika melakukan penerangan berkaitan pertanian dan tanaman. Kadangkala perlu menulis dan sesekali bercakap untuk memberi pemahaman berkaitan teknik dan cara tanaman dilaksanakan.

vi. Bakat Logik Matematik - Logiknya untuk mendapat hasil yang berkualiti dan bermutu perlu untuk melakukan penaakulan secara serius. Perlunya saya tahu kos projek dan jumlah jangkaan keuntungan. Kira-kira perlu.

vii. Bakat Visual Spatial - Baik di dunia tani atau latihan, saya suka berimaginasi untuk melihat hasil yang akan diperolehi. Gambaran-gambaran sudah pasti ke arah sesuatu yang cantik dan indah. Ia sekadar imaginasi.

Gambar-gambar berkaitan hasil tani kerap diambil untuk memperhatikan hasilnya. Begitu juga dengan latihan, gambar diambil untuk kenangan dan perjalanan latihan.

3. Apakah nasihat Tuan kepada orang yang berminat untuk menjadi usahawan tani?

i. Percayalah, setiap individu mempunyai bakatnya tersendiri.
Apabila kita percaya kita akan terus komited dan mempamerkan hasil bakat tersebut.

ii. Setiap individu perlu selidik bakat dan melakukan eksplorasi berkenaan bakat mereka. Mereka perlu bangunkan, dapatkan ilmu, belajar dan terus belajar demi meningkatkan bakat mereka.

iii. Gunakan sepenuhnya kekuatan yang ada dalam diri dan jangan terlalu risau kelemahan diri. Uruskannya!

Berkaryalah dengan sesuatu yang dikurniakan!