HIDUP DENGAN BAKAT : PEGAWAI METEOROLOGI




Apabila menonton berita perdana segmen Laporan Kaji Cuaca kita hanya melihat seorang yang kita selesa gelarkan sebagai ‘pembaca berita cuaca’ yang memberitahu mengenai keadaan dan ramalan kaji cuaca di sekitar ibu negeri dan bandar utama dunia.

Mungkin, menonton segmen ini membuat kita terkenang filem The Weather Man lakonan Nicolas Cage pada tahun 2005. Tetapi, ada sesuatu yang lebih besar daripada itu, iaitu bakat yang diperlukan bagi menyampaikan laporan cuaca itu dengan baik di hadapan lensa kamera.

Jadi, apakah bakat-bakat yang diperlukan untuk menjadi seorang Pegawai Meteorologi?
Pegawai Kaji Cuaca adalah salah satu cabang karier Fizik yang sangat mengujakan. Mengapa ia perlu kepada ilmu Fizik? Ini disebabkan individu itu perlu pendedahan yang banyak kepada aktiviti indoor dan outdoor. Tanpa pengetahuan Fizik yang kuat, dia akan mudah berasa kerjaya ini tidak menarik.

Bagi menggalas tugas dengan cemerlang, seorang pegawai meteorologi memerlukan bakat-bakat berikut:
1. Bakat logik matematik – Bakat ini perlu disebabkan kerjaya ini memerlukan skil dan kebolehan memerhati dan menganalisa maklumat cuaca serta membuat keputusan daripada analisis tersebut. Bagi memastikan maklumat ini dianalisis dengan teknik dan sikap yang betul, ilmu Fizik dalam mengukur dan menganalisa data mengenai sains alam adalah kritikal.
2. Bakat visual spatial - Hampir semua maklumat daripada meteorologi disampaikan dalam bentuk grafik. Penyampaiannya juga dibuat dalam bentuk grafik. Maka, pengulas kaji cuaca akan banyak membaca carta dan diagram.
3. Bakat interpersonal – Ahli kaji cuaca atau meteorologis tidak bekerja berseorangan. Sebaliknya, setiap keputusan mereka dicapai melalui perbincangan kumpulan. Mereka juga kerap berjumpa dengan pelbagai jenis klien yang terdiri daripada orang awam, wartawan, korporat dan menteri.
4. Bakat linguistik – Ahli kaji cuaca banyak menulis artikel seperti ruangan dalam surat khabar, blog dan laman web. Malah, mereka perlu menterjemah istilah saintifik kepada istilah yang boleh difahami oleh orang awam. Selain itu, mereka juga perlu menyampaikan konten tersebut kepada orang ramai dengan bahasa yang mudah difahami.
5. Bakat semulajadi (naturalist) - Bagi meteorologis yang bertugas sebagai agrometeorologis, mereka perlu membuat banyak kajian mengenai cuaca dan iklim untuk pertanian. Oleh itu, mereka perlu memahami perkaitan cuaca dengan sifat tumbuhan semasa membuat laporan.

Secara keseluruhan, lima jenis bakat ini perlu dikuasai oleh seorang individu supaya dia dapat berseronok dalam mengembangkan kerjayanya sebagai pengulas ramalan kaji cuaca.

Penulis: Rahmah Mokhtar
Artikel Asal: Salleha Seth

No comments:

Post a Comment